UCL 2021/22: Atalanta 2-2 Manchester United

Cristiano Ronaldo sekali lagi muncul wira dalam memanjangkan jodoh Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United.  Ronaldo dua kali menjaringkan gol penyamaan United ketika mereka mengikat Atalanta 2-2 pada kali kedua mereka bertemu dalam saingan UCL 2021/22.

 


United memulakan perlawanan dengan posisi yang hampir sama ketika mereka menewaskan Tottenham Sabtu lalu, dengan bermain tiga bek tengah dan dua penyerang. Cuma kali ini Victor Lindelof mengantikan Eric Bailly dan Marcus Rashford untuk Edison Cavani. Ye lah, daripada membazir duit melantik Antonio Conte baik guna strategi dia saja.

Hasilnya, United menyerang seawal minit pertama. Ronaldo merembat dari luar kotak penalti namun berjaya dikawal penjaga gawang Atalanta, Juan Musso.

Pada minit ke 12, Josip Ilicic menjaringkan gol pertama perlawanan. Ilicic yang menerima hantaran Duvan Zapata merembat dengan kaki kirinya tepat ke David De Gea namun De Gea gagal menampannya dengan kemas lalu bola masuk ke gawang United.

Pada minit ke 38, United terpaksa melakukan pertukaran strategi apabila pertahanan United Raphael Varane mengalami kecederaan. Ole memasukkan penyerang Mason Greenwood bagi mengantikan Varane.

Gandingan Portugal Ronaldo dan Bruno Fernandes pada masa kecederaan babak pertama menghasilkan gol penyamaan yang begitu cantik. Fernandes yang berjaya menyusup masuk melepasi pertahanan Atalanta melakukan assist backheel kepada Ronaldo yang kemudian merembat masuk ke gawang Atalanta. Gol ini mengingatkan kita kepada gol Karim Benzema yang menerima assist yang hampir sama daripada Guti.

Babak pertama tamat dengan keputusan seri 1-1

Bersambung separuh masa kedua, Atalanta sekali lagi di depan apabila Duvan Zapata menjaringkan gol kedua mereka. Gol ini bagaimana pun terpaksa disahkan melalui VAR kerana mungkin Zapata dalam kedudukan offside. Setelah diteliti oleh VAR dengan cukup lama, gol itu dibenarkan.

Babak kedua lebih banyak dikuasai Atalanta dan United kelihatan seperti hilang arah. Dan apabila perlawanan seakan berpihak kepada Atalanta, Ronaldo memastikan sorakan SIUUUU!! kedengaran pada masa kecederaan. Ronaldo melakukan voli selepas menerima hantaran Greenwood. 2 gol voli padu dalam 2 perlawanan berturut-turut untuk Abg Do.


Tamat perlawanan United seri 2-2 dengan Atalanta dan kini berada dia atas kumpulan F dan Atalanta di kedudukan ketiga kumpulan.

Walaupun tidak tewas, United masih tidak mempamerkan persembahan yang meyakinkan dan ini bukanlah sesuatu yang baik untuk Ole untuk terus kekal.

Kongsi artikel ini: