Newcastle United 2-3 Tottenham Hotspur: Perlawanan Terhenti Akibat Penonton Diserang Serangan Jantung

Insiden serangan jantung penyokong Newcastle United di St James Park memaksa permainan dihentikan hampir 20 minit ketika penyokong menyambut permulaan baru di bawah pemilik baru buat kali pertama.

 

Tindakan pantas dua pemain Tottenham Hotspur, Sergio Reguilon dan Eric Dier berjaya menyelamatkan nyawa seorang penyokong Newcastle tersebut. Reguilon dengan pantas  memaklumkan kepada pengadil perlawanan Andre Marriner apabila mengetahui insiden tersebut manakala Eric Dier bergegas memanggil pegawai perubatan untuk mendapatkan defibrilator.

 

 

Ketika itu, perlawanan sedang berlangsung dengan Spurs mendahului Newcastle 2-1. Callum Wilson membuka jaringan seawal minit ke-2 sebelum jaringan Tanguy Ndombele dan Harry Kane meletakkan Spurs di depan

 

Setelah penyokong tersebut distabilkan dan dikeluarkan dari stadium untuk dibawa ke hospital, kedua-dua pasukan kembali untuk masuk ke padang untuk menyambung perlawanan.

 

Perlawanan tamat dengan Newcastle tewas 2-3 kepada Spurs dengan Heung Min Son menambah jaringan buat Spurs manakala gol sendiri Eric Dier hanya mengurangkan sedikit defisit gol buat tuan rumah.

 

Newcastle United pada pengumuman rasminya memaklumkan bahawa penyokong yang mendapat serangan jantung tersebut telah dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil. Mereka juga berterima kasih kepada semua yang membantu ketika insiden tersebut.

Kongsi artikel ini: