Malaysia Tumbangkan Indonesia Untuk Mara Ke Separuh Akhir Piala Sudirman 2021

Skuad badminton negara akan berdepan Jepun di peringkat separuh akhir Piala Sudirman 2021 setelah menumpaskan Indonesia 3-2 di peringkat suku akhir pagi tadi.

Kejayaan Malaysia dimulai dengan aksi cemerlang gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila menumbangkan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-12, 21-15.

Bagaimanapun, Indonesia berjaya menyamakan kedudukan apabila perseorangan wanita mereka, Gregoria Mariska Tunjung menumpaskan S Kisona 22-20, 18-21, 21-19.

Lee Zii Jia kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan ke atas Anthony Sinisuka Ginting 21-11, 21-16.

Indonesia masih tidak mengalah dengan sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi kemenangan beregu wanita Greysia Polii-Apriyani Rahayu ke atas pasangan negara, Pearly Tan-M Thinaah 22-20, 17-21, 18-21 menjadikan kedudukan semasa kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See muncul wira skuad negara apabila berjaya menumbangkan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16.

Malaysia akan menempah tiket ke final jika berjaya menumpaskan Jepun pada jam 9 malam ini.

Kongsi artikel ini: