James Rodriguez dilayangkan kad merah pada perlawanan ketiganya di Qatar

Bekas bintang Everton dan Real Madrid, James Rodriguez dilayangkan kad merah dalam insiden pelik semasa kekalahan 2-1 Al-Rayyan kepada Al-Arabi pada hari Sabtu.

Ketika insiden itu, James yang membuat pernampilan ketiganya bersama Al-Rayyan diterjah oleh pertahanan Al-Arabi. Terjahan itu menyaksikan James terbaring di atas padang sambil memegang kakinya. Pengadil memberikan sepakan percuma atas kekasaran itu.

Apabila James akhirnya bangun dan bersedia untuk mengambil sepakan percuma, secara tiba-tiba pengadil berlari ke arahnya dan melayangkan kad kuning, yang menyebabkan James naik angin.

James yang kelihatan begitu berang yang cuba memprotes tindakan pengadil sambil ditenangkan oleh rakan sepasukannya tetapi dia kemudiannya dilayangkan kuning kedua sebelum dilayangkan kad merah atas protes yang dibuatnya

Pemain Colombia itu kemudian menepuk tangan pengadil secara sinis sebelum menanggalkan bajunya dan berjalan keluar dari padang.

 

 

 

James telah mengalami kejatuhan dalam kariernya kebelakangan ini. James dijual kepada Everton pada musim panas 2020 selepas kehilangan tempat di Real Madrid.

Walaupun memulakan kempen EPL nya dengan begitu baik di Goodison Park di bawah kendalian Carlo Ancelotti, tetapi musim pertamanya di England dibayangi oleh masalah kecergasan.

Keadaan lebih diburukkan dengan Ancelotti mengangkat kaki untuk kembali semula ke Real pada musim seterusnya yang menyaksikan James terus tidak menjadi pilihan Rafa Benitez.

James seterusnya membawa diri ke Qatar namun ia tidaklah semudah yang disangka. Dia telah tewas dua daripada tiga perlawanan pertamanya dengan Al Rayyan, dan masalah displinnya di atas padang mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan.

Kongsi artikel ini: